SOMETHING THAT I WROTE,SOMETHING THAT I CAN THINK OF,SOMETHING THAT I WANT TO SHARE WITH ALL OF YOU AND THE WORLD...JUST FORGIVE ME IF MY SLOW WORKING BRAIN CANNOT MAKE A WONDERFUL IDEA'S OR WRITE A GOOD WORD
HEALTH
JARAK
Nama sains bagi pokok jarak ialah Ricinus Communis. Jarak berasal dari benua Afrika. Sekarang pokok jarak banyak terdapat di kawasan tropika. Jarak mempunyai kepentingan tidak sahaja dari segi kesihatan malah dari segi ekonomi. Minyak yang terhasil daripada biji jarak digunakan untuk menyalakan pelita. Walau bagaimanapun, kepentingan pokok jarak tidak mempunyai pasaran lagi. Tetapi dari segi kegunaan dalam perubatan tradisional jarak amat penting sekali. Semua bahagian pokok jarak boleh dibuat ubat.
Antara kegunaan jarak ialah, daunnya yang segar jika dipanaskan boleh mengubati penyakit gout, reumatisme, sakit kepala, ulser dan sesak nafas. Orang China menggunakan biji jarak untuk mengubati uterus atau rektum yang terkeluar dengan dihancurkan dan digosok di kepala. Jika digosok pada tapak kaki, ia boleh merangsang plasenta keluar selepas bersalin. Biji jarak juga dijadikan ubat sakit kepala, pekak, tibi, penyakit kulit, berak berdarah, buasir, bengkak-bengkak, penyakit buah pinggang, perangsang buang air besar dan juga merangsang proses bersalin. Akar dan daun digunakan sebagai ubat lumpuh saraf pada muka, tetanus, sawan, sakit sendi dan pelbagai penyakit kulit.
Di Amerika Tengah, terdapat amalan memakan dua atau tiga biji jarak sebagai perangsang untuk membuang air besar. Minyak yang diperoleh daripada biji jarak juga ditelan sebagai julap. Di Guatemala, biji jarak dicampur dengan turpentin dan ditelan untuk membunuh cacing pita di dalam perut. Di Bahamas dan Caicos, minyak dari biji jarak ditelan untuk mengubati selesema dan juga menjadi tonik bagi kanak-kanak dan ibu yang baru bersalin. Di Trinidad, minyak jarak ditelan oleh ibu yang sedang mengandung dan selepas bersalin untuk merangsang buang air besar. Di Curacao, minyak jarak digunakan sebagai ubat sapu untuk mengubati bengkak-bengkak pada badan. Di Mexico, daun jarak yang telah disalai dilekapkan pada payudara ibu yang menyusui anak untuk merangsang pengaliran susu. Ia juga berkesan untuk mengubati penyakit reumatisme dan tumor yang teruk.
Daun pokok yang segar ini jika dibalut pada kepala boleh melegakan sakit kepala dan demam panas. Selain itu daun yang ditumbuk berguna untuk mengatasi sakit perut dan juga ditampal pada bisul dan kudis. Di Yucatan, daun jarak ditampal pada badan untuk merangsang peluh supaya dapat mengatasi demam panas. Manakala daun yang disapu minyak kelapa atau minyak salad dipercayai boleh mengatasi kejang otot dan bengkak di kaki dengan cara dibalut pada bahagian kaki yang bengkak. Di samping itu ia juga digunakan untuk mengatasi sakit gigi.
Di Brazil, air rebusan daun jarak digunakan untuk mengecutkan buasir dengan berendam di dalam airnya. Air rebusan ini juga boleh diminum untuk mengatasi masalah kolon. Di Cuba pula ia digunakan untuk merangsang buang air kecil dan mengatasi masalah kelenjar prostat yang bengkak. Manakala di Jamaica, ia digunakan untuk mengatasi bengkak-bengkak sendi. Di Bermuda pula daun yang ditumbuk lumat di sapu pada gusi yang bengkak.
MENGKUDU BESAR
Nama botani bagi mengkudu besar ialah Morinda Citrifolia Linnaeus. Pokok ini berasal dari Queensland di Australia. Ia tumbuh di kawasan lapang, terutama di Asia Tenggara.. Penduduk di Semenanjung menanam pokok mengkudu besar hanya sebagai sumber ubatan, walaupun ia boleh dijadikan pewarna. Buah yang sangat masak dimakan sebagai perangsang aliran haid dan juga sebagai ubat kencing manis. Air perahan buah diminum sebagai ubat penawar sengungut, perangsang haid, penawar darah beracun, asma, masalah pernafasan, bengkak dan sakit otot, sakit semasa buang air kecil dan besar. Buah yang digunakan bersama bahan lain boleh mengubati bengkak limpa, penyakit hati, beri-beri, pendarahan dan batuk-batuk.
Di Jawa, isi dihancurkan bersama gula dan dicampur air untuk dijadikan jus buah mengkudu. Ia diminum sebagai perangsang buang air besar. Air rebusan kulit kayu pula digunakan sebagai ubat demam panas, demam menggigil dan demam malaria. Kulit kayu juga adalah sejenis toksik dan antiseptik untuk mengatasi masalah kulit seperti kudis, luka dan ulser. Daun yang dipanaskan diletak dibadan sebagai ubat batuk-batuk, bengkak limpa, demam panas dan sakit perut. Sekiranya dicampur dengan bahan lain pula boleh mengubati sakit campak. Air rebusan daun pula di minum sebagai ubat cirit-birit, disenteri, antiseptik, muntah-muntah, kolik, demam panas, sawan dan tonik. Akar, daun dan buah digunakan untuk membunuh cacing dalam perut. Di Vietnam akar digunakan sebagai penawar kejang otot, tetanus dan darah tinggi. Di negara Virgin Island, tumbuhan ini digunakan sebagai ubat sakit jantung. Orang negara Dominica guna daun mengkudu besar untuk mengubati sakit reumatisme. Mengkudu besar dan misai kucing juga digunakan sebagai ubat arteriosklerosis dan darah tinggi.
ASAM JAWA
Nama sains bagi asam jawa ialah Tamarindus Indica. Pokok ini tumbuh liar di kawasan barat India dan benua Afrika. Asam jawa ada dua jenis iaitu masam dan manis.
Asam jawa ini banyak kegunaannya, selain untuk dimakan dan dijadikan tepung atau kanji ia amat bernilai dalam pengubatan pelbagai penyakit. Asam jawa dan akarnya digunakan untuk menyejukkan badan dan pelawas buang air besar dan kecil. Kayu teras digunakan untuk mengubati penyakit hati dan penawar kurang selera. Kulit buah dan kulit kayu pula digunakan untuk ubat cirit-birit.
Kulit kayu juga dibuat losyen untuk penyakit kulit seperti bisul, bengkak, ulser dan gatal digigit serangga. Air rebusan daun diminum sebagai penawar demam panas. Daun muda pula ditumbuk dan dicampur kunyit untuk mengubati penyakit reumatisme, luka dan bisul. Jus daun muda boleh mengubati mata merah. Air rebusan kulit kayu pula diminum untuk melegakan lelah. Di kawasan Amerika Tengah dan di Yukatan kegunaan utama asam jawa dalam perubatan tradisional adalah sebagai pelawas buang air besar dan kecil dan juga demam panas. Di Curacao, asam jawa yang belum masak direbus dan diminum untuk ubat selesema. Air rebusan daun pula untuk mengubati sakit kencing manis dan batuk kerana gatal kerongkong. Orang Aruba meminum air rebusan daun asam jawa sebagai penawar selesema dan buah yang masak pula di buat sirap untuk mengubati batuk.
Di Jamaica, air rebusan daun asam jawa di minum sebagai penawar demam campak dan dibuat air mandian penawar demam panas dan sakit otot. Di pulau utara Caicos, daun asam jawa direbus bersama-sama dengan rumput benggala dan daun pokok nona, ia diminum sebagai tonik. Orang Bahamas pula merebus daun asam jawa selama 20 minit dan selepas itu dicampur dengan limau nipis dan gula kemudian diminum sebagai penawar demam panas. Air teh dan asam jawa digunakan sebagai losyen bagi mengubati bengkak mata. Di Cuba, di samping kegunaan asam jawa seperti yang diamalkan di tempat lain, air rebusan akar asam jawa digunakan untuk mengubati jaundis dan pendarahan. Biji asam jawa yang dipanggang di buat ubat cirit- birit.
PINANG
Nama sains bagi pinang ialah Areca Catechu. Ia berasal dari Asia Tenggara. Di Malaysia negeri Pulau Pinang memperolehi namanya daripada pokok ini. Pinang ini biasanya di kunyah bersama sireh bagi masyarakat Melayu dahulu. Ada beberapa jenis pinang dengan rasa yang berlainan. Jenis yang tidak sesuai dimakan ialah pinang Mengkelan dan pinang Mabuk.
Di kebanyakan kawasan, biji pinang, sabut, pucuk, kudup, daun dan akar digunakan dalam perubatan tradisional. Serbuk pinang digunakan sebagai ubat luka dan pelbagai penyakit kulit. Orang Malaysia menggunakan air rebusan daun pinang untuk memandikan kanak-kanak sebagai penawar cirit-birit. Daun pinang yang dicampur dengan bahan lain digunakan sebagai ubat sakit perut. Daun pinang yang digulung bersama daun pokok tanjung dihisap seperti rokok untuk mengubati resdung.
Minyak yang terkandung dalam daun pinang telah terbukti mempunyai ciri antiseptik dan berkesan untuk mengubati penyakit kerongkong, bronkitis atau bengkak salur pernafasan. Air buah pinang muda digunakan sebagai penawar pelbagai masalah mata, demam panas, sawan, disenteri dan pirai. Air biji pinang disapu pada kepala untuk melegakan sakit kepala. Akar pinang di rebus atau dicampur ramuan lain dan diminum sebagai ubat disenteri. Isi batang dan akar pinang ditumbuk halus, digulung dengan daun sireh, dicelup dalam minyak panas dan dimasukkan dalam lubang telinga untuk menghentikan pendarahan.
Di China, pinang sudah lama digunakan untuk membunuh cacing pita. Biji pinang digunakan sebagai ubat cirit-birit, lumbago, demam panas, bronkitis, dan pelbagai penyakit sistem air kecil. Manakala sabut pinang pula digunakan untuk mengubati penyakit beri-beri, edema (takungan air dalam tisu kaki), dan pitam. Di Indo-China dan Indonesia air rebusan pinang digunakan sebagai perangsang untuk membuang air besar dan kecil. Jika dicampur dengan ramuan lain pula boleh dibuat ubat sakit perut. Di India, biji pinang yang dicampur susu atau minyak sapi digunakan untuk membunuh pelbagai cacing. Air sirih pinang yang dikunyah pula dibuat penawar gigitan sotong. Apabila gusi berdarah, serbuk pinang pula digunakan.
Di Eropah biji pinang digunakan untuk membunuh pelbagai cacing dan mengubati penyakit masalah usus. Serbuk biji pinang digunakan dalam perubatan orang Inggeris bagi penyakit cacing kerawit atau cacing pita dalam usus dan perut. Dalam perubatan tradisional, mayang bunga pinang digunakan sebagai pengebas dalam upacara menyembuh penyakit. Asap hasil sabut pinang yang dibakar dipercayai dapat menghalau hantu dan ia juga digunakan untuk mengasap rumah dan pesakit yang dirasuk hantu.
MERUNGGAI
Nama sains bagi merunggai ialah Moringa Oleifera dan sinonim dengan Moringa Ptergyosperma. Merunggai juga dikenali dengan nama ramunggai, rembugai, lembugai, pemanggai dan kacang kelur. Pokok ini berasal dari India dan sekarang banyak ditanam di pelbagai kawasan tropika dan subtropika, terutama di Asia disamping benua Amerika seperti Florida di Amerika Syarikat, Mexico, Peru, Paraguay, Brazil, Venezuela, Hindi Barat, Kepulauan Turki dan Caicos.
Merunggai mempunyai pelbagai kegunaan sebagai ubat tradisional. Daun merunggai dikatakan boleh mengubati buah dada yang bengkak, terutama dikalangan ibu yang baru bersalin. Ia diubati dengan cara menyapu daun yang ditumbuk lumat pada bahagian yang bengkak. Bagi memulihkan badan ibu, akarnya ditumbuk dan disapu pada perut ibu yang baru bersalin sebagai bebat. Makanan daripada daun merunggai dan buah merunggai boleh bertindak sebagai pelawas sembelit. Daun dan akar juga boleh digunakan untuk mengubati penyakit sifilis dan busung darah. Manakala daunnya dimakan untuk mengubati penyakit gonorea.
Dalam perubatan India, akar merunggai digunakan sebagai ubat sapu pada bengkak atau bisul yang dalam. Daunnya pula dijadikan penawar gigitan anjing, muntah-muntah, dan mengurangkan aliran susu ibu. Di Jawa, akar merunggai digunakan untuk mengubati rasa kebas, penyakit beri-beri, dan pelbagai penyakit kulit. Batang pokok yang luka mengeluarkan sejenis gam yang berguna sebagai ubat di India dan Jawa. Orang India menggunakan gam ini untuk mengubati kelenjar yang bengkak. Orang Jawa pula menggunakan gam ini bagi mengubati sakit usus.
Di kawasan Amerika Tengah, terutamanya di Curacao, akar merunggai sepanjang 15 cm diambil, dicuci bersih dan cecair di dalam akarnya itu dihisap; cecair ini didapati boleh menjadi penawar selesema. Di Guetamala, kulit dan akar yang dihancurkan dijadikan ubat sapu, bijinya dibancuh seperti teh dan diminum untuk melegakan demam panas dan juga pelawas buang air besar. Di Nicaragua dan El Salvador, akar yang kering digunakan sebagai penawar untuk mengubati penyakit malaria dan masalah buah pinggang. Orang Puerto Rico memakan daun merunggai sebagai pelawas buang air besar. Di Pulau Caicos, air rebusan bunga diminum sebagai penawar batuk.
Di Bahamas, air rebusan bunga merunggai ini dicampur dengan limau nipis sebelum diminum untuk tujuan yang sama. Orang Aruba menghancurkan biji merunggai dan menyapunya pada bahagian badan yang ada ketuat untuk mernghilangkan ketuat itu. Di Venezuela, air rebusan biji dan daun merunggai diminum sebagai julap dan untuk mengeluarkan cacing yang ada di dalam perut dan usus. Orang Bahamas dan Jamaica merendam kulit merunggai di dalam alkohol dan menggunakannya sebagai ubat sapu bagi melegakan sakit kepala dan sakit-sakit badan. Orang Curacao merendam akar yang telah dihancurkan di dalam rum dan digunakan sebagai ubat sapu bagi menyembuhkan sakit otot jenis reumatisme.
KUNDUR
Nama Botani bagi buah ini ialah Benincasa Hispida (Thund) Cogn. Nama lain bagi buah ini ialah Benincasa Cerifera G. Savi. Hanya terdapat satu spesis kundur di dunia dan ianya ditanam dinegara-negara tropika terutama di Asia Tenggara. Di Malaysia buah kundur juga dikenali sebagai nama beligu.
Akar pokok kundur dapat menahan pelbagai penyakit yang berpunca dari dalam tanah. Buah ini sesuai dimakan untuk menghilangkan dahaga, perangsang buang air kecil dan menyejukkan badan. Kegunaan lain ialah sebagai mengubat beberapa jenis penyakit seperti gonorea dan sawan. Di China, kulit buah, isi buah, jus dan biji kundur digunakan sebagai penawar demam panas, buasir, lebam atau bengkak, tonik, sakit usus, sakit buah pinggang, kencing manis, dropsy (takungan air dalam badan) dan lemah limpa. Abu biji kundur pula digunakan untuk mengubat penyakit gonorea, manakala abu kulit buahnya dibuat ubat luka. Di Indonesia, buah kundur dicampur dengan bahan lain untuk mengubati penyakit yang mempunyai simptom keluar darah, penawar racun dan juga ubat luka. Bagi orang Filifina pula, buah kundur segar sebagai ubat bagi masalah pernafasan dan paru-paru. Air kundur juga didapati berguna sebagai bahan pencuci mata yang merah dan bengkak.
PEGAGA
Nama sains bagi pegaga ialah Centella Asiatice. Pegaga mempunyai nama lain iaitu daun kaki kuda atau tapak kuda, pegaga tekukur dan pegaga ular. Ia banyak didapati di kawasan tropika dan juga suptopika seperti di selatan China dan Utara India.
Pegaga ini dijadikan penawar racun makanan seperti alergi, antikanser, cirit-birit, perangsang buang air besar dan kecil, sakit kerongkong, batu karang, kencing berdarah, ubat kusta, gonorea, bronkitis, asma, luka, kudis dan bisul. Pegaga juga mujarab untuk mengubati penyakit gagap. Bagi masyarakat Jawa, ia dijadikan ubat sakit telinga. Orang Cina guna pegaga untuk penyakit hepatitis, campak, selesema, sakit tonsil, batu karang dan penawar racun salah makan, dan muntah berdarah. Ia juga dijadikan penawar racun ular bisa. Di Brazil ia dijadikan ubat kanser uterus, kusta dan kaki gajah.
TUMBUHAN – TUMBUHAN LAIN
ULAM RAJA
Ia digunakan sebagai ajen pencuci darah dan untuk menguatkan tulang.
BENDI
Sayur yang elok untuk perkembangan otak. Dalam perubatan berkesan digunakan sebagai perangsang buang air kecil, merawat gonorea, sifilis serta bengkak saluran kerongkong dan hidung.
JERING
Jika diambil secara berterusan dengan kadar sedikit mujarab untuk penyakit kencing manis.
PETAI
Berkesan untuk merawat penyakit hati, buah pinggang, kencing manis dan mengeluarkan cacing daripada kanak-kanak yang kecacingan.
PISANG
Elok untuk pelbagai organ dalam badan seperti jantung, hati, paru-paru dan limpa.
TERUNG PIPIT
Boleh mengubati retak kulit pada kaki dan mencuci darah dengan meminum air rebusannya, penawar racun ular dan serangga serta untuk meredakan sakit perut.
CEKUR MANIS (Sauropus androgynus)
Sebagai penawar darah tinggi dan pelbagai penyakit kardiovaskular.
KETAPANG
Ubat penawar darah tinggi dan tonik kardiak.
KESIMPULAN
Daripada apa yang telah dibincangkan di atas, kepentingan tumbuhan kepada manusia memang tidak dapat dinafikan lagi. Kepelbagaian tumbuhan yang telah dibincangkan di atas hanya sedikit dibandingkan dengan khasiat tumbuhan yang ada di muka bumi ini. Masih banyak lagi tumbuhan lain yang saya temui mempunyai khasiat, antaranya ialah pokok pontianak, buah pala, bawang, Tongkat Ali, jadam, lalang, letup-letup dan kacang soya. Selain itu, masih banyak lagi tumbuhan yang telah dikaji dan belum dikaji terdapat di muka bumi ini.
Sebagaimana yang telah diperkatakan di awal kajian pemakanan seseoranglah yang banyak mempengaruhi penyakit yang diperolehinya. Oleh itu pengawalan pemakanan yang betul dan mengamalkan makanan ulam dan buah-buahan elok untuk kesihatan. Dalam mengubati satu-satu penyakit, tidak hanya tertumpu kepada satu jenis tumbuhan. Kadang-kadang sesetengah orang lain pula keberkesanannya terhadap ubat tertentu. Oleh itu, sekiranya tidak sembuh dengan satu ubat perlulah mencari alternatif lain untuk menyembuhkannya.
Rawatan secara tradisional ini sebenarnya telah dimulai sejak dahulu kala lagi. Ianya juga meliputi seluruh dunia bukan sahaja dinegara kita. Apa yang perlu dilakukan ialah ianya cuma perlu diperluaskan dan pengubatan cara ini harus dikomersialkan. Cara rawatan yang berkesan ini perlu dihebahkan kepada semua agar lebih banyak nyawa dapat diselamatkan. Daripada kajian dan pembelajaran dalam kuliah saya mendapati manusia berhubung rapat dengan tumbuhan dan juga bergantung kepadanya, maka ‘ETNOBOTANI’ merupakan pembelajaran yang penting dan menarik. Pengetahuan ini pasti akan memberikan seseorang itu kebolehan menghargai dan menikmati alam ini.
Subscribe to:
Posts (Atom)